SUKAN
Alonso belum pasti sertai ujian
SELEPAS menerima rawatan awal di litar, Alonso dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter dan keadaannya kini dilaporkan semakin pulih.
BARCELONA, Sepanyol – Meskipun Fernando Alonso dilaporkan semakin pulih selepas terlibat dalam kemalangan pada Ahad lalu, keadaan kesihatan pemandu berusia 33 tahun itu bagaimanapun masih belum jelas sama ada dia mampu menyertai sesi ujian terakhir di Barcelona minggu depan.
Semalam, pemandu pasukan Formula Satu (F1) McLaren Honda itu masih dirawat di wad hospital bagi membolehkan pakar perubatan menjalankan pemerhatian lanjut.
"Alonso semakin pulih di hospital. Dia juga berbual dengan keluarga, rakan dan staf hospital. Sejak terlibat dalam kemalangan, dia dibawa ke pusat kecemasan di litar untuk diberi rawatan awal.
Dia diberi ubat pelali dan dikejarkan ke hospital menggunakan pengangkutan udara.
"Setiba di hospital, Alonso menjalani analisis lengkap termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT) dan pengimejan resonan magnetik (MRI) yang menunjukkan semuanya berkeadaan baik.
"Dia diberi ruang peribadi yang selesa dan diawasi pasukan perubatan yang memantau keadaannya selepas diberi ubat penenang.
"Kami memberi Alonso peluang untuk segera sembuh dan seterusnya membuat penilaian berdasarkan keadaan kesihatannya sama ada dia boleh menyertai sesi ujian di Barcelona atau tidak," ujar pihak McLaren Honda menerusi kenyataan rasmi pasukan itu semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, McLaren Honda turut menafikan jentera baharu mereka, MP4-30 yang terlibat dalam kemalangan tersebut mengalami masalah dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada keadaan angin kuat ketika kejadian.
"Sepanjang 24 jam lalu, kami melakukan analisis lengkap untuk mengenal pasti kerosakan jentera yang dipandu Alonso. Ia termasuk menganalisis data telemetri untuk memahami punca atau sebab kemalangan itu. Pada peringkat awal ini, kami berjaya mendapat beberapa keputusan.
"Angin kuat di luar jangkaan menjadi punca kemalangan yang turut berlaku ke atas pemandu Toro Rosso, Carlos Sainz Jr. Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan kemalangan berpunca daripada kerosakan mekanikal atau seumpamanya.
"Kami juga ingin menegaskan tidak berlaku kehilangan tekanan aerodinamik pada jentera meskipun ia mempunyai hubung kait dengan tahap tekanan graviti.
"Data kami juga menunjukkan Alonso menggunakan brek pada tekanan sepatutnya ketika impak itu berlaku. Mustahil untuk mengatakan dia tidak sedar pada waktu itu," tambah kenyataan tersebut. – Agensi
No comments:
Post a Comment